Untuk berjaya anda perlu berkawan dengan mereka yang telah berjaya. Belajar dari pengalaman dan pengetahuan mereka. Belajar tentang cara mereka membentuk personaliti dikalangan masyarakat. Orang yang berjaya selalunya mempunyai personaliti dan karisma yang mengkagumkan. Personaliti dan karisma ini bukannya semula jadi sebaliknya mereka berusaha membinanya. Kalau mereka boleh, anda juga boleh melakukannya.
Petua 5 : Dalami Ilmu Kecemerlangan
Semangat ada ketikanya naik dan ada ketikanya luntur. Ada ketikanya kita terlupa tentang matlamat yang dikejar disebabkan oleh pelbagai urusan dan aktiviti lain. Ada ketikanya juga diri terasa malas dan bosan. Semuanya ini adalah lumrah hidup seorang manusia. Untuk mengekalkan semangat dan membina sikap positif maka anda perlulah sentiasa mendalami ilmu kecemerlangan diri. Anda boleh mendalaminya dengan banyak membaca buku-buku motivasi, berbincang dengan rakan-rakan tentang perancangan anda, menghadiri program dan ceramah motivasi. Anda juga perlu mendengar kaset-kaset motivasi dan mendapatkan bahan-bahan daripada internet. Semakin bertambahnya ilmu kecemerlangan diri didada maka semakin positif dan matang fikiran anda.
Petua 6 : Fokus Kepada Apa Yang Anda Mahukan

Anda sering mendengar bahawa sikap positif lahir dari pemikiran yang positif. Namun begitu fahamkah anda apa yang dikatakan fikir positif itu? Dalam hidup kita, kita hanya akan bertindak dan berusaha mengejar apa yang ada dalam fikiran kita. Iaitu apa yang terlintas, ternampak dan tergambar di fikiran.
Sebagai contoh mari kita lakukan aktiviti yang cukup mudah. Keluarkan sehelai kertas sekarang dan lakarkan suasana di sebuah pantai yang indah permai. Ambillah masa lebih kurang 5 minit untuk anda menyiapkan lukisan ini. Jangan pedulikan sama ada lakaran itu cantik atau tidak, lakarkan sahaja apa yang tergambar di fikiran anda tentang suasana di pantai.
Baik sekarang saya tanya anda, ada atau tidak lakaran kapalterbang di dalam lukisan itu? Ada atau tidak jeti dari tepi pantai sampai ke tengah laut? Ada atau tidak budak menjual air? Kalau tiada maka kenapa begitu? Jawapannya sebab anda tidak terfikir tentangnya. Atau lebih tepat lagi anda tidak langsung tergambar tentangnya. Oleh itu bolehlah dibuat kesimpulan bahawa kalau kita tidak tergambar akan sesuatu maka kita tidak mungkin dapat menghasilkannya.
Begitulah dari aspek kecemerlangan diri, untuk anda menjadi orang berjaya anda mesti gambarkan diri anda seorang yang berjaya. Anda mesti mampu melihat apa yang mahu dilakukan mulai hari ini untuk menjadi orang berjaya.

Fikirkan pula, positifkah anda apabila anda berkata:
- Mulai hari ini aku tidak malas lagi.
- Mulai hari ini aku tidak mahu tinggal solat lagi.
- Aku tidak mahu main-main dalam kelas lagi.
- Aku tidak mahu lawan cakap ibu bapa lagi.
Positifkah anda? Jawapannya ialah tidak! Hasrat anda memang baik tetapi fikiran anda negatif sebab anda fokus kepada apa yang anda tidak mahu. Anda tergambar bagaimana anda main-main dalam pekerjaan. Anda terbayang bagaimana anda melawan cakap ibu bapa, ketua dan sebagainya. Kalaulah ini yang tergambar maka inilah juga yang akan terhasil! Anda menghasilkan sesuatu yang negatif sedangkan hasrat anda baik.
Oleh sebab itu anda perlu ubah gambaran minda anda kepada gambaran yang positif dengan mengubah ucapan anda seperti berikut:
- Mulai hari ini aku seorang yang rajin.
- Mulai hari ini aku solat lima waktu.
- Aku akan tumpu pada guru dalam kelas.
- Aku ikut cakap ibu bapa.
Lihat, kata-kata di atas membawa maksud yang sama tetapi dari sudut yang positif. Maka yang tergambar juga adalah gambaran yang positif. Kalau yang positif anda nampak maka positiflah juga tindakannya nanti. Memanglah anda mungkin tidak berubah dengan hanya sekali, dua kali atau sepuluh kali berkata-kata secara positif. Tetapi kalau setiap hari dan beratus-ratus kali anda amalkan dalam hidup anda maka satu hari nanti tanpa anda sedari anda menjadi orang yang positif. Oleh itu ingatlah… fokus kepada apa yang anda mahukan!
Petua 7 : Kejayaan Silam Membarai Diri
Dalam hidup kita ini pasti ada sekali dua kita mencipta kejayaan sama ada kecil atau besar. Waktu kecil dulu mungkin kita pernah tewaskan rakan-rakan dalam suatu permainan dan kita berbangga dengannya. Mungkin juga kita pernah dulunya dipuji atas pencapaiaan, kualiti kerja atau kerajinan kita. Mungkin kita pernah menerima anugerah sebagai pemenang dalam apa jua pertandingan. Mulai hari ini cuba ingatkan kembali sebanyak mungkin kenangan manis ini dan senaraikan dalam diari anda. Setiap kali anda rasa tertekan, negatif, malas, bosan dan sebagainya maka bacalah diari anda ini dan hayati semula saat-saat tersebut. Gambarkan dengan jelas apa yang berlaku ketika itu. Rasakan apa yang anda rasakan ketika itu. Semangat anda akan membara sekiranya anda lakukannya bersungguh-sungguh. Semangat untuk kekal cemerlang ini akan menjana sikap yang positif.
Tidak kira betapa gagalnya anda rasa hidup ini namun pasti pernah sekurang-kuangnya sekali anda pernah dipuji atas kebaikan dan kejayaan silam.
Lakukan perkara berikut, sediakan satu buku kecil dan senaraikan semua kejayaan anda sejak dari dahulu hingga ke hari ini, sama ada kecil atau besar. Kemudian baca dan hayati apa yang anda tulis itu satu persatu, gambarkan keadaan ketika itu, rasakan perasaan anda ketika itu dan dengar apa yang anda dengar ketika itu. Lakukannya dengan penuh kesungguhan dan rasakan satu getaran perasaan yang positif yang mengalir dalam setiap urat nadi anda. Sentiasa kemas kini buku kecil anda ini dengan kejayaan-kejayaan baru. Ia adalah sumber tenaga dan kekuatan anda.
Anda mungkin tidak mengingati kesemuanya, tidak mengapa, ambil masa anda. Anda boleh tambah senarai kejayaan anda pada bila-bila masa sahaja.
Satu tabiat yang baik, mulai hari ini rakamkan setiap peristiwa penting dalam hidup anda sama ada melalui gambar atau rakaman video.
Setiap kali anda rasa tertekan, anda rasa tidak dihargai, anda rasa putus asa – lihat kembali buku kecil dan rakaman anda ini.
Petua 8 : Saranan Diri Positif
Untuk kekal dalam sikap positif anda perlu saran diri anda dengan katajaya yang merangsang jiwa dan fikiran. Anda juga boleh gunakan petikan mutiara kata daripada ahli ilmu, petikan al-quran serta hadith. Dengan melazimkan hidup anda berpandukan katajaya dan petikan-petikan ini maka ia memberi anda kekuatan untuk menyahut cabaran dan mengatasi segala masalah.
Anda juga boleh cipta sendiri katajaya itu, misalnya:
“Kalau orang lain boleh.. Aku juga BOLEH!”
“Setiap kata-kata pasti akan dikota!”
“I’m the best!”
“I can do it!”
Jadikan kata-kata ini sebagai sebahagian dari hidup anda. Saran diri anda setiap hari dengan kata-kata ini hingga ia lazim dalam minda anda.
Petua 9 : Soal Diri Dengan Soalan Positif
Dalam sehari anda menyoal beribu-ribu soalan kepada diri anda, daripada soalan yang mudah-mudah hinggalah kepada soalan-soalan yang membentuk masa depan anda. Anda mungkin bertanya soalan-soalan mudah seperti hari ini nak pakai baju apa? Nak makan di mana? Nak keluar denagn siapa? Nak balik pukul berapa? Dan sebagainya. Soalan-soalan ini tidak menjejaskan kehidupan dan peribadi anda. Tetapi ada ketikanya anda menyoal diri dengan soalan-soalan yang boleh memberikan kesan terhadap hidup anda seperti, Nak ambil kursus apa? Nak belajar lama mana? Nak rebut peluang atau tidak? Dan sebagainya.
Orang berjaya menyoal diri dengan soalan-soalan yang boleh memajukan dirinya seperti:
- Apa hikmah disebalik ujian Allah ini?
- Apa lagi yang boleh aku buat untuk jadi lebih baik?
- Apa yang belum aku selesaikan lagi?
- Apakah setakat ini sahaja kemampuan diri yang dianugerahkan oleh Allah kepada aku?
- Apakah aku mahu menyerah hanya dengan kegagalan sementara ini?
Semua soalan ini menjadikan anda lebih positif terhadap apa yang berlaku. Soalan yang diajukan akan membina kekuatan dalaman anda. Semakin berkualiti soalan yang dibentuk semakin berkualitilah diri anda.
Perbezaan antara seorang insan dengan insan yang lain ialah soalan lazim yang secara konsisten terbit difikiran. Manusia lemah sering mengutuk dan memperkecilkan dirinya sendiri. Mereka mungkin berkata:
- Nak buat macam mana aku ni lemah.
- Engkau lain aku lain.
- Engkau bolehlah aku ni siapa.
- Dah memang nasib aku begini, terima ajer lah..
- Buat berkali-kali pun gagal juga baik tak payah..
- Dah tahu diri tu bodoh buat apa tunjuk pandai.
Soalan yang positif akan:
- Megubah persepsi dan cara fikir kita
- Mengubah fokus kita
- Memberikan sumber kekuatan baru kepada kita
Petua 10 : Dapatkan Model Ikutan
Model ikutan adalah seseorang yang anda kagum dengan pencapaiannya dan mahu mengikuti jejak langkahnya. Dapatkan beberapa model ikutan terutamanya mereka yang telah berjaya dalam bidang yang anda mahu ceburi.
Namun begitu sebagai orang Islam, model ikutan kita yang pertama pastilah Nabi Muhammad S.A.W.
Selain daripada Nabi s.a.w yang lain semuanya ada kelemahan. Malahan kita tidak boleh nafikan bahawa ulamak juga ada kelemahan sebab itu pendapat ulamak secara ijmak lebih diterima pakai dalam Islam berbanding pendapat hanya seorang ulamak sahaja.
Setelah anda kenal pasti model ikutan anda, cuba dapatkan gambar mereka. Baca juga kisah hidup mereka. Pelajari bagaimana mereka merancang dan bertindak. Cari potongan kata-kata ucapan mereka yang boleh dijadikan panduan hidup. Selami falsafah hidup mereka dan lihat bagaimana mereka mengatasi setiap masalah yang datang dalam hidupnya. Sebab semakin besar kejayaan seseorang itu maka semakin besarlah cabaran serta masalah yang telah mereka hadapi. Kejayaan dan pengorbanan adalah dua perkara yang sering berada ditempat yang sama. Kejayaan bukanlah apa yang kita miliki tetapi apa yang kita pelajari. Siapa kita dipenghujung kehidupan ini jauh lebih penting berbanding apa yang kita perolehi ketika itu.